Hari ini hari Khamis.
Waktu tengahari. Keadaan di luar rumah agak suram dan rintik-rintik hujan mula turun membasahi bumi.
Di newsfeed akaun Facebook ku hari ini bermacam-macam cerita ada. Ada kawan yang update status mengenang kisah sekolah lama, berkongsi link petisyen untuk menyelamatkan sekolah lain, ada yang berkongsi resepi berbuka puasa dan tempat bazar Ramadan yang perlu dikunjungi. Kementerian Kesihatan Malaysia juga berkongsi jumlah kes Covid dan posting tersebut dihujani dengan komen-komen positif dan negatif.
Hujan semakin lebat. Air hujan semakin ganas membaur ke bumi.
Cursor tetikus makin rancak di skrin komputer, membawaku membaca status-status yang ditulis oleh rakan-rakan FB.
Tiba-tiba. mataku terhenti membaca satu tajuk artikel yang dikongsi oleh satu akaun media. Dengan hati-hati, aku klik kepada tajuk tersebut dan mendapati satu tab lain muncul dan memaparkan berita yang amat menarik.
Kisah yang dilaporkan adalah kisah pasangan yang berasal dari benua Afrika berkahwin dengan penuh istiadat perkahwinan Melayu. Mereka telah berada di Malaysia secara berasingan sejak awal tahun 2000. Mereka berkenalan pada awal tahun ini. Walaupun dengan jarak umur 11 tahun diantara mereka, pasangan tersebut dilihat serasi oleh orang-orang di sekelilingnya. Akhirnya dengan persetujuan bapa pengantin, mereka disatukan dalam satu upacara lewat petang semalam.
Upacara gilang-gemilang ini lengkap dihiasi dengan bunga manggar, berbalas dulang hantaran. Tetamu juga diberitakan sangat teruja dengan penyatuan dua hati ini. Tuan rumah menjamu lauk-pauk kenduri Melayu untuk majlis kenduri yang juga dibuat serentak dengan majlis berbuka puasa. Kedua mempelai ini kelihatan malu-malu semasa makan beradab. Maklumlah, pengantin baru.
Namun demikian, proses untuk merealisasikan perkahwinan ini bukan lah mudah kepada taman tema air Lost World of Tambun. Ianya memerlukan kelulusan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk menentukan kedua badak air ini serasi dan tidak bergaduh serta boleh duduk di dalam tempat yang sama.
Dan disini, aku duduk merenung ke paparan skrin. Tersenyum.
Ada nada nakal di kepalaku yang mengusik
"Badak dah kahwin..kau bila lagi?"
Haip!
😝
No comments:
Post a Comment